G2M Superfriends

Saturday, February 26, 2011

Murid dahulu dan murid zaman sekarang

Suatu pagi di luar bilik gerakan SKBPT. Seorang guru yang agak veteran menegur seorang murid yang kebetulan berdiri di situ.

"Ali, ada pensil di bawah kaki kamu tu, napa tak pungut?". Sergah cikgu tersebut kepada Ali.

"Tak tau siapa punya cikgu." jawab Ali ringkas.

"Kalau takda orang lain, awak ambil lah. Daripada terbuang macam tu ja". sambung cikgu itu lagi.

"tak mahu lah cikgu, pensil itu tak cantik, hehehe". balas si murid.

"amboi, .......................". (dialog seterusnya terpaksa di cut ya). Ngeee~

::::::::::::::::::::::::::::::::::....................................

Cikgu tersebut kemudian meninggalkan pelajar terbabit lalu masuk ke dalam bilik Gerakan. Kami yang kebetulan berada di dalam hanya mendengar keluhan guru terbabit.

"Napa tadi cikgu?" soal saya pura-pura bertanya (",).

"Entah lah dil, murid-murid sekarang ni tak sama dengan murid-murid zaman baya kami dulu-dulu. Sekarang murid-murid dah pandai berlagak, sombong. Mentang-mentanglah segalanya kena bagi percuma. Dapat pensil free, baju free, kasut free. Segalanya percuma. Bila dah dapat, pensil-pensil dan kertas-kertas dibuang macam tu ja. Membazir. Tak pandai menghargai. Inilah perangai murid-murid kita sekarang."

"Dulu zaman kakak tahun 60-70-an, pensil adalah ibarat pistol di sekolah. Betapa pentingnya pensil dalam kehidupan kami di sekolah masa tu. Ke mana pergi, pensil tetap terselit dalam poket. Dulu mana ada istilah percuma. Semua main beli. Nak minta emak beli memang payah sebab takda duit. So pensil yang ada kami akan jaga dan hargai dengan sebaiknya sehinggalah pensil yang panjang akan menjadi pendek keciput."

"Paling akak tak pernah lupakan bila pemadam pensil kami cuma pakai getah pengikat sayur ja yang diikat dibelakang pensil. Getah itulah yang kami gunakan untuk memadam." Hahahahaha. Telatah cikgu itu membuat kami tergelak bersama.

"Pernah suatu hari, pensil akak terjatuh di lantai kelas yang berlubang lalu hilang dari pandangan akibat semak samun. Betapa sanggupnya kakak turun mencari sampai jumpa. Bukan senang nak memiliki sebatang pensil masa itu".

"Cuba tengok gelagat murid-murid kita sekarang. Dalam kelas saja pensil dan pemadam bertaburan di lantai kelas tak dipeduli. Pastu datang ke sekolah selalu saja tinggal buku tinggal pensil. Sedangkan semuanya sudah diberi secara percuma."


~HADAPI DENGAN SENYUMAN~

Thursday, February 24, 2011

Program "Street Smart Petrosains" di SKBPT


Setelah penat lelah menjadi tuan rumah MTQ semalam, hari ini sebuah lagi program bermanfaat untuk murid-murid telah dijalankan. Bertempat di dewan serbaguna SKBPT, program yyang dinamakan "Street Smart Petrosains" ini telah dianjurkan oleh Panitia Sains SKBPT dan dikendalikan oleh penceramah jemputan daripada pihak Petrosains sendiri iaitu encik Rizal dan encik Ali.

Petrosains StreetSmart, merupakan sebuah program kemasyarakatan daripada Petronas. Program ini dikelolakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Majlis Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pengangkutan, dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya. Ianya merupakan pameran jelajah interaktif yang mempromosi kempen keselamatan jalan raya melalui pendekatan Sains dan Teknologi.

Jika kita mahu mendidik rakyat Malaysia mengenai langkah keselamatan jalan raya, kita patut memulakannya semasa mereka muda. Kita mahu mereka memahami konsep sains di sebalik keselamatan jalan raya. Alhamdulillah program seumpama ini memberi banyak manfaat kepada murid-murid sekolah ini.
~HADAPI DENGAN SENYUMAN~

Wednesday, February 23, 2011

Hari Kemuncak Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) 2011M/1432H


Hari yang dinanti-nantikan akhirnya telah tiba dengan Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) peringkat sekolah-sekolah Zon Bandar Selatan telah berjaya dilaksanakan dengan meriahnya. 

Majlis perasmian penutupan telah berjaya disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah merangkap Ketua Bahagian UMNO, P.190 Tawau Yb Datuk Haji Taufiq DSP Haji Abu Bakar Titingan. Sebanyak 14 buah sekolah telah menghantar peserta masing-masing dalam acara tertentu termasuk SK Batu Payong sebagai tuan rumah bagi sesi 2011M/1432H ini.

Empat acara yang dipertandingkan adalah Hafazan (L&P), Tilawah (L&P), Bercerita (L&P) dan Nasyid berkumpulan.  Berikut merupakan keputusan rasmi pertandingan yang diumumkan semasa Majlis Perasmian Penutupan.

Tilawah al-Quran (Lelaki)
1. Mohd. Firdaus Mohd. Amin (SK Kg. Titingan)
2. Muhammad Ghazi Zufar (SK Kinabutan)
3. Mohd. Haikal Riezzuan (SK bandar Tawau II)

Tilawah al-Quran (Perempuan)
1. Nur Sakinah Mawaddah (SK Kem Kabota)
2. Nur Hafizah Anawar(SK Sentosa)
3. Samira Sarafuddin (SK Kg. Titingan)

Hafazan (Lelaki)
1. Muhd. Razif Zakwan (SK Holy Trinity)
2. Aiman Nazmi (SK Sentosa)
3. Mohd. Rizki (SK Batu 4)

Hafazan (Perempuan)
1. Rabi'atu Adawiah (SK Holy Trinity)
2. Nurul Aqidah (SK Kem Kabota)
3. Nihayatul Khairat (SK Batu Payong)

Bercerita (Lelaki)
1. Irwan Muhd. Rizal (SK Bandar Tawau II)
2. Hizbullah Fathurrahman (SK Holy Trinity)
3. Wahyudi Nasir (SK. Kg. Titingan)

Bercerita (Perempuan)
1. Miza Faihanam (SK Kinabutan)
2. Siti Zulaikha (SK Bandar Tawau II)
3. Nurfitry Misran (SK Batu Payong)

Nasyid
1. (SK Holy Trinity)
2. (SK Batu 4)
3. (SK Kinabutan)

Juara Keseluruhan
1. SK Holy Trinity Tawau.

SK Holy Trinity bakal menjadi tuan rumah untuk Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) akan datang. Terima kasih semua. Semoga kita berjumpa lagi. Mari kita layan gambar-gambar sepanjang berlangsungnya majlis tersebut. 

~HADAPI DENGAN SENYUMAN~

Wednesday, February 16, 2011

Program SEMAI (Sepuluh Minit Asas Ilmu)

Program SEMAI (Sepuluh Minit Asas Ilmu) yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Batu Payong Tawau, telah pun dijalankan pada awal tahun sesi persekolahan 2011. Program ini merupakan cabang kepada Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) yang wajib dijalankan oleh semua Pusat Sumber/Perpustakaan Sekolah di Malaysia.


Sepuluh minit diperuntukan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran pertama pada setiap hari untuk Program SEMAI ini. Bagi memastikan program ini berjalan seperti yang diharapkan, buku rekod SEMAI telah disediakan di setiap kelas untuk diisi oleh guru yang mengajar pada waktu pertama pengajaran dan pembelajaran hari yang berkenaan.

Murid-murid pula diarahkan untuk merekodkan setiap pembacaan mereka (jika membaca sehingga habis sebuah buku) ke dalam Buku Rekod Nilam.

Semoga aktiviti yang dirancang ini dapat berjalan dengan baik dan lancar serta mencapai matlamat yang disasarkan dengan kerjasama semua warga SKBPT.

~HADAPI DENGAN SENYUMAN~

Monday, February 14, 2011

Laporan Guru Bertugas Mingguan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi, selamat sejahtera.

Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Penolong-penolong Kanan, guru kanan, rakan guru, pemimpin pelajar dan serta seluruh warga SKBPT yang dikasihi sekalian.

Selain tugas rutin, pada minggu lalu saya cikgu Jumadil bersama seorang lagi rakan sejawat saya iaitu cikgu Rasiah Atak telah diamanahkan untuk menjadi guru bertugas memantau dan merekod keadaan persekitaran sekolah. sepanjang minggu lalu. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada majoriti atau sebahagian besar warga SK Batu Payong Tawau yang telah berusaha menyumbang terhadap persekitaran pembelajaran yang selesa dan terbaik.

Berdasarkan maklum balas guru, serta pemerhatian guru bertugas sepanjang minggu lalu, proses pembelajaran telah berjalan lancar. Tingkah laku melencong juga didapati tidak lagi dominan dalam kalangan pelajar. Cuma beberapa aspek tertentu perlu diperbaiki lagi agar budaya positif sekolah menampakkan pencapaian yang baik di masa-masa akan datang.

~Kehadiran murid~

Sepanjang minggu lalu, kehadiran murid ke sekolah ini agak baik, cuma dalam hari-hari tertentu menunjukkan sedikit penurunan akibat faktor cuaca yang tidak menentu. Faktor hujan yang berterusan sepanjang hari menyebabkan sebilangan murid terutama yang berjalan kaki ke sekolah tidak dapat menghadirkan diri ataupun terpaksa datang lewat ke sekolah.
(Majoriti murid di sekolah ini adalah datangnya daripada pejalan kaki yang tinggal berhampiran dengan kawasan sekolah).

Beberapa pelajar juga khasnya daripada tahun 5 dan 6 telah terpliih untuk mewakili sekolah dalam sukan MSSDT selama dua hari iaitu pada 8 dan 9hb Febuari (Rabu dan Khamis) di Stadium Kompleks Tawau.

~Disiplin, dan Keselamatan~

Beberapa murid khususnya murid tahap 1 telah ditegur ekoran tindakan mereka bermain dalam keadaan hujan. Akibatnya, pakaian dan kasut mereka basah kuyup sekaligus telah menyukarkan mereka untuk belajar dalam kelas dalam keadaan yang selesa.
Hal ini dibimbangi akan mengakibatkan murid jatuh sakit. Pada minggu lalu juga, hanya seorang murid tahun 6 sahaja yang datang membuat aduan akibat keadaan kesihatannya yang kurang baik. Hasil keizinan daripada Penolong Kanan 1, murid tersebut telah dibenarkan pulang bersama ibunya yang datang mengambil di sekolah.

~Sikap dan siasah~

"Budaya salam menyalam" sebelum ini pernah disebut dalam perhimpunan lalu. Namun terdapat beberapa pelajar yang masih belum mempraktikkan sepenuhnya amalan ini. Murid yang terserempak dengan mana-mana guru di sekitar kawasan sekolah hanya pandang dan lihat sahaja tanpa memberi salam atau hormat kepada guru yang mendidik mereka.

Semoga amalan salam ini kembali dihidupkan bagi membentuk generasi yang berbudi bahasa. Terima kasih diucapkan kepada mana-mana murid yang berusaha proaktif membantu guru-guru mereka mengangkat barang-barang ke tempat yang dituju. Semoga amalan ini akan menjadi ikutan murid-murid lain.

~Kebersihan~

Aspek kebersihan kelas juga perlu ditingkatkan lagi memandangkan terdapat beberapa kelas walaupun tempat telah disediakan tong sampah, namun kertas dan plastik masih lagi bertebaruan di bawah meja. Semasa pulang sekolah, adalah diharapkan semua murid untuk mengangkat kerusi masing-masing ke atas meja bagi memperlihatkan ikilm kelas yang teratur dan kondusif.

Sekian sahaja laporan kami selaku guru bertugas untuk minggu ini. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua warga SKBPT yang selama ini berusaha untuk mencapai objektif yang telah digariskan oleh dasar pendidikan negara. Teruskan tradisi kecemerlangan SKBPT. Buktikan kepada diri sendiri, orang lain dan dunia luar, SKBPT sentiasa boleh diharap dan boleh dipercayai.

Akhir kata, kami selaku guru bertugas minggu lalu ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul yang akan disambut pada esok hari. Banyakkan amalan sunat dan senitiasa berselawat ke atas nabi junjungan kita Rasulullah s.a.w. Sibukkan diri dengan amal kebaikan dan kebajikan. Mudah-mudahan Allah memberkati kita, Insya-Allah.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat belajar... Ngeee~ (",)

~HADAPI DENGAN SENYUMAN~

Monday, February 7, 2011

Tugas tetap tugas

Salam ceria di pagi Isnin. Dah puas bercuti akhirnya tiba la masanya untuk kita semua kembali ke tempat kerja melaksanakan apa-apa tugasan yang tertangguh yang belum disiapkan lagi. Cuma kejutan juga buat aku beb. Daripada cuti yang panjang, buka sesi persekolahan tiba-tiba lak banyak tugasan yang perlu aku laksanakan pada minggu ini.

Iyep, bermula hari ini sehingga Jumaat kelak, selain melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, minggu ini adalah giliran aku sebagai guru bertugas mingguan plak. Then kena lagi setiap awal pagi kena datang kantin sebab aku juga adalah guru yang bertugas sebagai penyelaras Rancangan Makanan tambahan (RMT). Jumaat ini kena atur perjumpaan PIBG. Oh ye, satu lagi hal aku bakal menyelaras program SEMAI bermula hari ini sebagai tugas yang baru. Ngeee~

Apa pun terima semua seadanya. Hadapi semua dengan senyuman. Tugas tetap tugas K.. Salam keceriaan. Buat lah kerja anda seikhlas yang mungkin kerana Allah swt.

~HADAPI DENGAN SENYUMAN~

Thursday, February 3, 2011

Berdentam dentum bunga api


Dum dam dum dam.. Tekejut beruk aku dari lena. Ingatkan perang rusuhan dari pemberontakan di Mesir tadi. Rupanya bunyi letupan bunga api di ruang angkasa luar rumah aku. Ngeeee~. Cantik. Hampir setengah jam pesta bunga api itu berlangsung. Oh ye, esok kan Tahun Baru Cina.

p/s: Hanya perayaan Tahun Baru Cina ja ada peluang tengok sambutan bunga api ini. Kalau Raya Aidilfitri hanya terdengar bunyi mercun dan meriam buluh sampai ada yang putus jari.. Ngeee~

Selamat menyambut Tahun Baru Cina buat semua kawan-kawan yang menyambut perayaan ini.


~HADAPI DENGAN SENYUMAN~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...